Menu

Sedekah/Amal Jariyah =Pahala berterusan

Contoh Blogspot - Accordion Hadis

Sumber diambil dan diolah dari:

https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/3560-bayan-linnas-siri-ke-194-konsep-sedekah-jariah-menjana-kesatuan-ummah/


Takrif Sedekah Jariyah
Berkenaan dengan takrif sedekah pada bahasa, ia dengan maksud kebenaran atau pemberian ikhlas dari hati yang bersih. Manakala pada istilah pula, ulama’ menyebut sebagai pemberian semata-mata untuk mendekatkan kepada Allah dan mencari keredhaan Allah SWT. 
Sedekah jariah pula memberi maksud mengalir kerana sedekah tersebut bersifat kekal dan manfaatnya boleh digunakan walaupun penyumbangnya sudah meninggal dunia.
Dalam al-Qamus al-Fiqhi (1/318) sedekah jariah juga dikenali sebagai wakaf berdasarkan beberapa hadith Nabi SAW.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏
Maksudnya“Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya." 
Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’i (3651), al-Tirmizi (1376) dan Abu Daud (2880)
Imam Nawawi dalam menjelaskan hadith ini menyebut: Ulama berkata, makna hadith ini adalah bahawa amalan si mati akan terputus dengan sebab kematiannya dan terputus juga pembaharuan pahala baginya kecuali dengan tiga amalan ini. Ini kerana ia menjadi penyebabnya. Anak yang soleh daripada usahanya. Manakala ilmu yang ditinggalkannya adalah dengan sebab pengajaran atau karangannya. Begitu juga sedekah jariyah iaitu wakaf.
Dalam hadith ini juga terdapat galakan supaya berkahwin untuk mendapat anak yang soleh. Pada hadis ini juga menunjukkan sahnya asal wakaf dan besar pahalanya. Di samping itu, diterangkan kelebihan ilmu serta galakan untuk memperbanyakkannnya.Begitu juga menggalakkan untuk mewariskan ilmu dengan cara pengajaran dan karya serta penerangan. 
Al-Khatib al-Syarbini berkata: Ulama telah mentafsirkan perkataan ‘sedekah jariah’ dalam hadis yang tersebut di atas itu dengan maksud wakaf, seperti mana kata Imam al-Rafi’i. Hal ini kerana pahala sedekah jariah terus menerus mengalir kepada orang yang melakukannya, sedangkan sedekah yang lain, pahalanya tidak berterusan mengalir sepertimana sedekah amal jariah atau wakaf.
Oleh itu, dapat difahami bahawa sedekah jariyah adalah sedekah yang dilakukan di mana pahalanya berterusan mengalir sekalipun seseorang telah meninggal dunia seperti amalan wakaf.


Bentuk-bentuk Sedekah Jariyah
Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ مِمَّا يَلْحَقُ الْمُؤْمِنَ مِنْ عَمَلِهِ وَحَسَنَاتِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ عِلْمًا عَلَّمَهُ وَنَشَرَهُ وَوَلَدًا صَالِحًا تَرَكَهُ وَمُصْحَفًا وَرَّثَهُ أَوْ مَسْجِدًا بَنَاهُ أَوْ بَيْتًا لِابْنِ السَّبِيلِ بَنَاهُ أَوْ نَهْرًا أَجْرَاهُ أَوْ صَدَقَةً أَخْرَجَهَا مِنْ مَالِهِ فِي صِحَّتِهِ وَحَيَاتِهِ يَلْحَقُهُ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِ
Maksud“Sesungguhnya yang didapati oleh orang yang beriman dari amalan dan kebaikan yang dia lakukan setelah dia mati adalah:
  • Ilmu yang dia ajarkan dan sebarkan.
  • Anak soleh yang dia tinggalkan.
  • Mushaf al-Qur’an yang dia wariskan.
  • Masjid yang dibina.
  • Rumah bagi ibnu sabil (musafir yang terputus perjalanan) yang dia bina
  • Sungai yang dia alirkan.
  • Sedekah yang dia keluarkan dari harta ketika dia sihat dan hidup.
Semua itu akan dihubungkan dengannya setelah dia mati.”

Fadhilat dan Kelebihan Amalan Sedekah
Antara fadhilatnya ialah, firman Allah SWT:
وَمَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّـهِ وَتَثْبِيتًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَآتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِن لَّمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Maksud: "Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan."
(Surah al-Baqarah: 265)

Nabi SAW pernah bersabda:
إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ الصَّدَقَةَ ، وَيَأْخُذُهَا بِيَمِينِهِ ، فَيُرَبِّيهَا لأَحَدِكُمْ كَمَا يُرَبِّي أَحَدُكُمْ مُهْرَهُ ، حَتَّى إِنَّ اللُّقْمَةَ لَتَصِيرُ مِثْلَ أُحُدٍ
Maksud“Sesungguhnya Allah menerima amalan sedekah dan mengambilnya dengan tangan kanan-Nya. Lalu Allah mengembangkan pahalanya untuk salah seorang dari kamu, sebagaimana kamu membiakkan seekor anak kuda. Sehingga sedekah yang hanya sebiji boleh berkembang hingga sebesar gunung Uhud.”
Riwayat al-Tirmizi (662). Beliau berkata, hadis hasan sahih.
Firman Allah SWT:
الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
Maksud: Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.
(Surah al-Baqarah: 274)

Hikmah Pensyariatan Wakaf

  • Ia membuka pintu untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan cara mengalirkan harta di jalan Allah. Sebagai balasan, pewakaf mendapat ganjaran dan pahala. Tiada amalan yang paling disukai oleh seorang Mukmin selain amalan yang boleh mendekatkan dirinya dengan Allah dan menjadikan dirinya bertambah kasih oleh Allah.

Firman Allah SWT:
لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ
Maksud: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.
(Surah Ali-Imran: 92)
  • Wakaf juga dapat menunaikan impiannya untuk melihat kebajikan dan pahalanya sentiasa berterusan, sekalipun selepas kematiannya dan ganjaran pahala sentiasa diperolehinya ketika di dalam kubur, sekalipun telah terputus amalannya di dunia. Dan tiada yang tinggal melainkan apa yang telah diperuntukkan dan diwakafkannya pada jalan Allah semasa hidupnya, anak yang soleh yang mendoakannya atau ilmu yang boleh dimanfaatkan.
  • Akan tercapai banyak kebajikan agama. Sekiranya harta-harta wakaf ini diuruskan dengan baik, ia boleh memberi manfaat yang besar dan faedah yang banyak untuk mencapai maslahah dan kepentingan masyarakat Islam. Contohnya membina masjid, sekolah, menghidupkan ilmu dan syiar-syiar Islam, seperti azan, kepimpinan Islam dan sebagainya.

Subscribe for our Newsletter

RE-IMAGINING THE WAY
Back to top